Cukai jawapan kepada obesiti
Kajian syor makanan, minuman tidak sihat dicukai lebih tinggi
INDIANA: Pakar kesihatan yang memerangi obesiti di Amerika Syarikat sejak sekian lama mencadangkan cara baru mengatasi masalah yang semakin membimbangkan iaitu mengenakan cukai ke atas makanan dan minuman yang dianggap menjejaskan kesihatan.
Satu kajian baru menunjukkan, langkah mengenakan cukai ke atas makanan dan minuman berkenaan dapat membantu mengurangkan bilangan penduduk yang menghadapi masalah kegemukan atau obesiti. Menurut laporan, lebih 60 peratus rakyat Amerika memiliki berat badan berlebihan. Jika cukai itu dilaksanakan, burger keju berharga AS$4 (RM12) akan dikenakan kos tambahan 80 sen (RM2.40), lapor stesen televisyen RTV6.
Sebahagian penduduk pula menganggap cukai itu sukar diterima.
“Saya rasa kita tak perlu mengenakan cukai ke atas penduduk dan gaya hidup mereka,” kata seorang lelaki.
Namun, ada juga yang menyambut baik cadangan itu. “Saya sanggup bayar 20 peratus. Ia berbaloi. Saya akan makan dengan cara lebih sihat untuk menjimatkan wang,” kata seorang wanita.
Penyelidik berkata, cukai itu boleh mengurangkan kadar obesiti sebanyak 3.5 peratus dan menghalang 2,700 kematian kerana serangan jantung setahun.
Kajian juga menggesa subsidi diberi kepada makanan yang membantu penduduk lebih sihat termasuk sayur-sayuran bagi menjadikannya lebih murah.
Ketua Jabatan Kesihatan Awam Sekolah Perubatan Universiti Indiana, Dr Eric Wright, berkata cukai itu selari dengan produk pengguna lain.
“Kita mengenakan cukai ke atas alkohol dan tembakau dan jelas banyak kajian menunjukkannya dapat menurunkan bilangan orang yang obes. Jadi, ada logiknya mengenakan cukai ke atas makanan berlemak dan bukti awal di Eropah menunjukkan ia amat berkesan,” katanya.
Penyelidik berkata, Indiana memperuntukkan AS$3.5 bilion (RM10.5 bilion) setahun untuk kos perubatan berkaitan obesiti.
“Realitinya, dengan dua pertiga penduduk gemuk berlebihan atau obes, itulah yang menaikkan kos penjagaan kesihatan dan anda sama ada memilih untuk membayar sekarang atau kemudian,” kata Wright.
Pengkritik cukai berkata, orang ramai yang memilih makanan yang menyihatkan sepatutnya tidak perlu membayar cukai dan menerima insentif lain. – Agensi
Sayur, air suam rahsia usia 117
Sayur, air suam rahsia usia 117
Pak Man pernah nikahi lapan isteri disahkan tiada masalah kesihatan serius
JERTIH: Walaupun sudah berusia 117 tahun, ingatan Abdul Rahman Abu Bakar, masih segar dan keinginan untuk bersama wanita tetap kuat, malah mungkin dapat mengatasi keupayaan sesetengah lelaki lain.
Itulah kelebihan dimiliki Abdul Rahman atau lebih dikenali Pak Man dari Kampung Denger, dekat sini, yang masih gagah dan sihat, malah boleh bertutur dengan baik berbeza dengan kebanyakan rakan apabila mencapai usia emas.
Pak Man bijak mengemudi rumah tangga dengan semua isteri yang pernah dikahwininya, apabila mampu mengawal kehidupan berkeluarga tanpa sebarang sengketa dengan pasangannya.
Ketika ditemui di rumahnya semalam, Pak Man mengakui perlu ada rahsia tersendiri untuk terus kekal sihat dan mempunyai isteri sehingga sekarang, meskipun sudah agak berusia.
Satu-satunya isteri masih bersamanya ialah, Saadiah Hamat, 71, manakala yang lain sudah meninggal dunia.
“Isteri yang lain meninggal kerana sakit tua dan hasil perkahwinan saya dikurniakan lapan anak dan 25 cucu,” katanya.
Dilahirkan pada 1895, Abdul Rahman yang ketika muda bekerja sebagai tukang rumah dan melalui kehidupan zaman penjajah bersyukur kerana masih dilanjutkan usia dan dapat menikmati segala kemudahan disediakan kerajaan.
Beliau berkata, sepanjang berumahtangga hanya sekali dapat berkongsi hidup dengan tiga isteri serentak.
“Saya bersyukur dengan kesihatan dan rezeki kurniaan Allah dan gembira melihat anak berjaya dalam hidup,” katanya.
Abdul Rahman mampu mengaji al-Quran, membaca akhbar serta buku tanpa menggunakan kaca mata dan penglihatan matanya masih baik.
Menceritakan rahsia menjaga kesihatan, Abdul Rahman berkata, sejak kecil dia tidak suka makan makanan berlemak, sebaliknya gemar memakan sayur dan air suam.
“Walaupun pernah menghisap rokok, tetapi selepas usia 50 tahun, saya cuba berhenti merokok.
“Saya juga disahkan doktor tidak mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis seperti yang lazim dialami individu seusia lain,” katanya.
Statistik pesakit kencing manis di Malaysia
Terdapat 5.6 juta pesakit diabetes di negara ini. Daripada jumlah itu, 1.4 juta mengalami komplikasi kaki yang serius, kata Koordinator Jawatankuasa Penjagaan Luka, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Harikrishna K.R. Nair.
“Malaysia mempunyai ramai pesakit diabetes berbanding 28 juta penduduknya. Implikasi penyakit itu mengundang kepada penambahan komplikasi kaki yang turut dipengaruhi oleh faktor pengambilan makanan seperti nasi dan gula yang tidak terkawal,” ujarnya baru-baru ini.
Secara umum, pesakit diabetes berisiko mendapat penyakit kaki diabetik. Penyakit itu menyebabkan kulit kaki menjadi kering dan senang merekah, kurang atau hilang bulu, peningkatan pigmentasi pada kulit dan juga jangkitan kulat pada kaki dan kuku.
Diabetes juga menyebabkan seseorang tidak menyedari kerosakan pada kakinya seperti luka, pecah ataupun berkudis (ulser). Masalah oksigen yang tidak sampai pula membuatkan luka kaki terbabit lambat sembuh atau bernanah hingga terpaksa dipotong.











