Diabetes serang orang muda

0
566

Bilangan penghidap meningkat kerana tidak jaga makan, kurang bersenam

UMUMNYA masyarakat hanya mengetahui diabetes ataupun kencing manis disebabkan kadar gula yang terlampau tinggi dalam tubuh seseorang. Kebanyakan mereka akan mengawal pemakanan supaya kadarnya tidak naik terlalu tinggi hingga ada sebilangannya terpaksa dipotong anggota badannya untuk mengelak keadaan bertambah kritikal.

Adakah pesakit diabetes mengetahui kesan penyakit yang dihidapinya itu boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular lain hinggap ke atas badan mereka?


Bagi mereka yang kurang mengambil berat mengenai diabetes, ia sebenarnya antara penyebab kepada penyakit jantung. Pesakit diabetes mempunyai risiko mendapat penyakit jantung dua hingga empat kali ganda berbanding orang biasa, malah mereka juga berkemungkinan mendapat serangan jantung secara tiba-tiba.

Pesakit diabetes juga berkemungkinan lumpuh adalah dua kali ganda berbanding orang biasa. Disebabkan itulah, 60 hingga 70 peratus pesakit diabetes mati disebabkan oleh penyakit kardiovaskular terutama sakit jantung.

Wanita yang mempunyai diabetes lebih mudah diserang penyakit jantung berbanding lelaki memandangkan mereka tidak lagi dilindungi hormon semula jadi yang terhasil di dalam badannya.

Pengarah Eksekutif Institut Diabetes Negara (NADI), Datuk Prof Emeritus Mustaffa Embong, berkata hampir 40 hingga 50 peratus pesakit diabetes juga berhadapan dengan risiko kegagalan buah pinggang, buta dan anggota badan dipotong. Katanya, selaras dengan peredaran zaman yang semakin canggih, jumlah pesakit diabetes semakin meningkat di seluruh dunia terutama di negara membangun termasuk Malaysia.

Kementerian Kesihatan melaporkan, pada awal 1960-an, kira-kira satu hingga dua peratus saja jumlah pesakit diabetes, tetapi jumlah itu meningkat kepada empat peratus pada 1970-an, lapan peratus (1980-an) manakala 14 peratus pada 1996 hingga 2006.

“Kajian dilakukan NADI, pada 1996 hingga 2006, kira-kira 17 peratus jumlah pesakit ini adalah kalangan orang dewasa manakala jumlah kanak-kanak juga semakin meningkat.

“Kanak-kanak seawal usia empat tahun dikesan menghidapi penyakit ini, malah ada juga yang baru lahir juga dijangkiti penyakit sama . Dulu usia paling muda menghidap penyakit itu ialah ketika 20 tahun,” katanya ditemui baru-baru ini.

Mustaffa berkata, jumlah pesakit diabetes yang diakibatkan faktor keturunan, obesiti, tidak bersenam dan wanita mengandung meningkat sebanyak 25 hingga 30 peratus dan paling membimbangkan ramai yang tidak tahu mengenainya kecuali selepas pemeriksaan kesihatan.


“Menerusi ujian Impact Glucose Test Tolerance (IGTT), mendapati mereka yang mempunyai pra-diabetes iaitu gula di dalam badan tinggi daripada normal juga berisiko menghidap diabetes jika tidak dirawat,” katanya yang menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup dan diet seimbang.

Manusia memerlukan 1,800 hingga 2,000 kalori setiap hari, namun lazimnya mereka makan lebih daripada yang sepatutnya iaitu 2,500 hingga 3,500 kalori sehari.

“Mereka juga gemar mengambil makanan berlemak, bergoreng dan makanan segera. Lebih memburukkan keadaan penyakit itu mudah datang jika mereka kurang menjalankan aktiviti fizikal seperti berjalan, bermain, mencuci, menyapu rumah dan basuh baju tanpa guna mesin basuh atau berkebun. Sebenarnya mereka tidak perlu keluarkan kos yang banyak seperti ke gimnasium atau berjoging, cukuplah sekadar aktiviti fizikal itu,” katanya.

Mustaffa menambah, kurang menjalankan aktiviti fizikal juga menyebabkan masalah kegemukan di kalangan kanak-kanak yang akhir mendatangkan risiko penyakit kepada mereka.

Mengikut kajian Kementerian Kesihatan, peratusan orang yang mempunyai berat badan berlebihan meningkat kepada 220 peratus manakala gemuk meningkat kepada 300 peratus.

“Golongan berkenaan tidak terkecuali menghadapi risiko penyakit diabetes, sakit jantung, artritis dan kemandulan,” katanya.

Kajian mendapati, hanya 15 peratus rakyat di negara ini yang betul-betul aktif bersenam manakala 85 peratus pula hanya baring, tidur dan langsung tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal.

Lebih membimbangkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 800,000 rakyat di negara ini akan menghidap diabetes, menjelang 2020, namun belum pun sampai tempoh itu, kini jumlahnya itu sudah mencecah empat juta orang.

“Kementerian Kesihatan menganggarkan kira-kira 28 peratus rakyat di negara ini akan menghidap diabetes, menjelang 2016 manakala NADI pula menganggarkan jumlah itu sebenarnya lebih tinggi lagi.

“Di peringkat global pula rakyat China diramalkan paling ramai menghidap diabetes, menjelang 2020, diikuti India dan Asia Tenggara (yang terdiri daripada Malaysia, Filipina dan Singapura). Keadaan itu juga menyebabkan banyak syarikat mengambil kesempatan mengeluarkan pelbagai produk berasaskan kesihatan bagi mengaut keuntungan,” katanya.

Beliau berkata, orang Melayu dilihat lebih liat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kerana takut dan sikap itu seharusnya dielakkan dan bukannya hanya berserah kepada kuasa atau takdir Allah.

Pada masa sama, beliau menyarankan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat, sentiasa aktif, jaga pemakanan, berfikiran positif dan jalani pemeriksaan di klinik kesihatan secara berkala sebagai langkah pencegahan dan mengelak sebarang komplikasi penyakit berkenaan.

Dari segi perubatan pula, diabetes boleh dicegah dengan hanya mengambil ubat yang dibekalkan doktor, namun jika ubat berkenaan terlalu mahal, ada ubat yang mempunyai kesan sama dan jauh lebih murah yang dipanggil ‘Generik’.

Generik boleh didapati di hospital dan pihak Pharmaniaga juga adalah antara syarikat pengeluar dan pembekal ubat terbabit.

Sementara itu, Mustaffa berkata, NADI iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan bukan berasaskan keuntungan semata-mata akan mengadakan persidangan Diabetes Asia 2011 kali ke-10, di Pusat Konvensyen, Sunway Resort Hotel and Spa, Selangor, pada 5 Oktober hingga 9 Oktober ini.

Persidangan yang ditaja oleh Pharmaniaga itu bertujuan membantu meningkatkan pengurusan dan penekanan aspek praktikal penjagaan diabetes terkini.

Selain itu, NADI juga dalam perancangan untuk menubuhkan Pusat Sumber Kardiovaskular Diabetes Kebangsaan di setiap hospital kerajaan terpilih bertujuan memberi nasihat kepada pesakit ini, selain mengadakan pelbagai aktiviti yang diadakan dengan kerjasama Pharmaniaga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here