Hikmah Kena Kencing Manis

0
937

Agak menghairankan jika mendengar seseorang yang menghidapi penyakit kencing manis merasa bersyukur dan gembira dengan ‘kurniaan’ Allah itu sejak 26 tahun yang lalu.

Biasanya, pesakit yang menghidap penyakit itu akan mengeluh dan melahirkan rasa kurang senang kerana terpaksa mengehadkan pelbagai aktiviti, berhati-hati ketika menjamah makanan dan menanggung kos rawatannya. Namun, bagi seorang arkitek muda yang sedang membina kehidupannya, Izati Aliza Ismail, 30, ‘anugerah’ itu adalah rahmat walaupun terpaksa mengambil empat suntikan insulin setiap hari sepanjang hidupnya.

“Saya bersyukur kerana menghidap kencing manis sejak berumur empat tahun yang menjadikan saya seorang yang berdisiplin dan mengamalkan gaya hidup yang betul,” kata Izati kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini. Kata Izati yang merupakan anak jati Kelantan Darul Naim, penyakit kencing manis itu memberinya satu kekuatan untuk menahan diri daripada nafsu makan yang tidak menentu, bersukan mengikut jadual yang betul serta mengamalkan gaya hidup yang sihat.


Pada setiap hari, Izati mesti mengambil suntikan insulin pada jumlah yang betul, menjamah semua jenis makanan yang memberi zat dan khasiat yang bersesuaian serta bersenam pada kadar yang yang sederhana agar ketiga-tiga amalan itu sentiasa seimbang.

Segala-galanya bermula kira-kira 26 tahun yang lalu ketika beliau berusia empat tahun dan telah mengalami demam viral untuk tempoh yang agak lama sehingga meracau-racau dan kemudiannya dimasukan ke hospital.
Ujian ke atasnya mendapati kelenjar pankreas anak kecil seorang jururawat itu gagal untuk menghasilkan bahan kimia insulin yang diperlukan oleh badan untuk merangsangkan pertukaran gula kepada tenaga, sebaliknya keluar semula dari badan dalam bentuk air kencing. Di samping itu, keturunan Izati sebelah ayahnya juga mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan diwariskan kepadanya.

Sejak itu, Izati yang hanya boleh mengambil tiga sudu gula dalam pelbagai bentuk sehari pada masa sekarang berkata, beliau mengambil insulin menerusi suntikan pada bahagian pinggang pada kadar tertentu mengikut tahap umur. ”Kini saya sudah biasa mengambil suntikan itu, biasanya ketika di pejabat setiap kali sebelum makan sarapan pagi, makan tengahari dan malam walaupun ketika kanak-kanak dahulu seksanya sampai meraung-raung,” katanya.

Jika gagal menyuntik insulin pada kadar yang diperlukan, badan akan merasa lemah, kepala mengalami pening-pening dan beliau mengakui pernah pengsan sebanyak ratusan kali sepanjang hidupnya, jelas Izati lagi. Justeru, Izati yang gemar dengan aktiviti lasak dan mencabar mengambil tindakan mengurangkan kegiatan seperti mendaki gunung kerana sukar untuk membawa insulin yang memerlukan ia disimpan dalam peti sejuk.

“Pesan saya kepada semua di luar sana terutama ibu bapa yang mempunyai anak menghidap kencing manis ialah mereka harus memberi galakan terutama sokongan modal dan tidak mudah untuk putus asa.” ”Jika boleh, galakkan mereka untuk menyertai kem diabetes agar anak-anak ini tahu bahawa mereka tidak keseorangan dalam menghadapi hal ini selain meningkatkan pengetahuan mengenai penyakit kencing manis,” katanya lagi.

Secara umumnya diabetes merupakan sejenis penyakit yang dapat dicirikan dengan keadaan ketinggian kandungan glukosa dalam darah (hyperglyceamia) terutamanya selepas pengambilan makanan. Keadaan ini berlaku kerana hormon insulin yang dihasilkan oleh kelenjar pankreas bagi membakar tenaga tidak mencukupi ataupun tidak berfungsi dengan berkesan, menyebabkan gula dalam darah tidak dapat dipergunakan. Oleh itu, kandungan paras gula tetap tinggi di dalam darah.

JenisSecara umumnya, terdapat tiga jenis diabetes iaitu jenis pertama yang juga dikenali sebagai diabetes bersandar insulin (IDDM), di mana hormon insulin tidak dihasilkan dengan secukupnya ataupun tiada langsung. Biasanya, penghidap diabetes jenis pertama mula mengalami simptom penyakit semasa kanak-kanak atau remaja lagi. Disebabkan oleh kegagalan penghasilan insulin oleh badan, pesakit memerlukan suntikan insulin untuk pengawalan tahap glukosa darah.

Diabetes jenis kedua pula disebabkan hormon insulin tidak berfungsi dengan berkesan. Pesakit biasanya memerlukan ubat-ubatan dan melakukan pengubahsuaian gaya hidup. Manakala diabetes jenis ketiga berlaku pada sesetengah kes kehamilan tetapi ia akan hilang dengan sendiri.

Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan kira-kira 246 juta penduduk di seluruh dunia diancam bahaya penyakit diabetis dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 380 juta menjelang tahun 2025. Di seluruh dunia, Asia mempunyai bilangan pesakit diabetes tertinggi dengan jumlah pesakit meningkat kepada 91 peratus iaitu daripada 81.8 juta orang pada 2003 kepada 156.1 juta orang pada tahun 2025.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here