Melaka negeri kedua tertinggi bilangan pesakit kencing manis

0
1038

MELAKA 17 Jun 2011 _ Melaka menjadi negeri kedua mempunyai pesakit paling ramai mengidap penyakit kencing manis selepas Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Muhamad berkata, pada masa ini, kira-kira 788,000 penduduk di negeri ini didapati telah mengambil sebanyak 1,572 tan gula.

Daripada jumlah itu, katanya, setiap pengguna mengambil kira-kira dua kilogram sebulan dengan 67 gram dalam masa sehari.

”Ini menunjukkan tahap kesedaran pengguna di negeri ini masih kurang dan jika ia terus berlanjutan pastinya peningkatan bilangan pesakit kencing manis akan bertambah dari hari ke hari,” katanya ketika merasmikan Kempen Kurang Gula, Kurang Belanja di Wisma Persekutuan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.


Berikutan itu, katanya, penduduk negeri ini wajar mengurangkan kadar penggunaan gula harian bagi mengelakkan mereka dilanda penyakit kencing manis.

”Kita bimbang masih ramai penduduk Melaka gemar mengambil gula berlebihan kerana tidak mengetahui kesan pengambilannya menyumbang kepada penyakit kencing manis,” katanya.

Ghazale berkata, pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi menangani masalah itu seperti mengadakan kempen meningkatkan kesedaran pengguna terhadap penggunaan gula yang mana mampu membantu mengurangkan peningkatan pesakit bagi penyakit merbahaya berkenaan.

Malah, katanya, kenaikan harga gula pada 10 Mei lalu dilihat tidak memberi sebarang bebanan atau masalah yang besar kepada pengguna.

”Walaupun harga dinaikkan sebanyak 20 sen iaitu dari RM2.10 kepada RM2.30 sekilogram namun harganya masih berada pada tahap terendah.

”Jika dibandingkan dengan negara lain seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina, harga gula di Malaysia masih lagi berada pada tahap terendah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here