Pemantauan Glukosa Dan Bacaan Normal Kencing Manis

0
748

Jika kesihatan diri berubah, pesakit harus berwaspada dengan ketidakselesaan dan segera laporkan kepada doktor yang merawat. Setiap perubahan yang dialami dan dirasai dapat diketahui oleh penghidap penyakit itu sendiri. Oleh itu, harus dipantau kesihatan dan perubahan yang berlaku pada diri amat penting dilaporkan kepada doktor semasa lawatan dan susulan di hospital atau klinik kesihatan bagi mendapatkan nasihat dan bacaan normal kencing manis oleh pesakit diabetes.

Pengawalan tahap glukosa dalam darah merupakan salah satu komponen terapi yang efektif. Kaedah pengawalan tahap glukosa yang konsisten dapat membantu pesakit untuk menilai tahap reaksi badan terhadap terapi yang diambil. Pemantauan glukosa ini membolehkan pesakit dapat menilai sama ada tahap glukosa yang disasarkan dapat dicapai atau tidak. Secara tidak langsung, pesakit mampu mengelakkan daripada mendapat hipoglisemia (kekurangan glukosa) atau hiperglisemia (lebihan glukosa). Sekiranya masalah tersebut berlaku, doktor akan mengarahkan pesakit bertukar kepada ubat yang lain atau mengurangkan dos yang diambil.

Kajian menunjukkan bahawa pesakit diabetes melitus yang mempunyai bacaan glukosa dalam darah yang normal dan hampir normal dapat menurunkan komplikasi diabetes melitus. Kekerapan dan masa untuk menilai bacaan glukosa dalam darah perlulah ditetapkan oleh pesakit. Walau bagaimanapun, tiada kajian yang menetapkan masa yang sebenarnya sesuai dan kekerapan yang optimum untuk memerhati atau melihat aras glukosa dalam darah.

Sekiranya, pada bila-bila masa didapati bahawa bacaan adalah terlalu tinggi atau terlalu rendah, pesakit harus berjumpa dengan doktor. Lazimnya, doktor akan memberikan nasihat mengenai cara untuk mengekalkan paras glukosa dalam darah pada paras normal dengan membetulkan ubat, diet atau program senaman. Pesakit diabetes melitus, terutamanya warga tua boleh dirawat menggunakan regimen ubatan yang sama seperti orang dewasa. Walau bagaimanapun, pemerhatian yang rapi diperlukan semasa preskripsi ubatan dan kesan ubatannya.

Selain dapat mengetahui tahap kandungan glukosa dalam darah, pemantauan yang berterusan amat penting sebagai langkah awal bagi mencegah diabetes dan mengesan hipoglisemia serta mengelakkan hiperglisemia. Maklumat tentang tahap glukosa juga berguna, khususnya kepada ibu hamil yang mengalami diabetes gestasi. Maklumat tersebut digunakan untuk menentukan permulaan kadar insulin yang diperlukan dan merancang pelan pemakanan diabetes.

Lazimnya, pesakit diabetes yang sedang menjalani terapi insulin (suntikan), doktor akan membuat pemantauan terhadap keadaan kesihatan mereka agar dos insulin yang diberikan itu berkesan.

Ujian pemeriksaan glukosa darah ini adalah sangat mudah dan amat praktikal untuk dilakukan oleh pesakit. Bacaan harus direkodkan dan ditunjukkan kepada doktor semasa lawatan ke klinik yang seterusnya. Sekiranya, didapati bahawa bacaan adalah terlalu tinggi atau terlalu rendah, pesakit harus berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat. Doktor akan memberitahu pesakit cara untuk mengekalkan aras glukosa dalam darah yang normal dengan melaraskan pengambilan ubat, diet atau program senaman.

Kekerapan pemeriksaan glukosa dalam darah adalah berbeza bagi setiap pesakit. Kekerapan pemeriksaan glukosa perlu dibuat sebanyak 2 — 6 kali sehari. Pada peringkat awal diagnosis yang dibuat oleh doktor, selalunya pesakit dinasihatkan agar melakukan pemantauan dengan lebih kerap untuk mendapatkan julat purata aras glukosa dalam darah. Namun, seiring dengan pengetahuan dan tempoh menghidap diabetes, pesakit akan lebih arif dengan aras glukosa dan keadaan badan mereka sendiri.

Bagi menguji keberkesanan pankreas, iaitu organ yang menghasilkan hormon insulin, pemeriksaan haruslah dijalankan dua jam sebelum dan dua jam selepas makan. Pemeriksaan ini dikenal sebagai pemeriksaan glukosa dua jam selepas mula makan. Masa lain yang sesuai adalah sebelum tidur, sebelum, semasa dan selepas riadah serta sebelum mengendalikan mesin yang berat atau memandu dalam masa yang panjang. Masa yang paling penting sekali untuk melakukan pemeriksaan adalah apabila pesakit menunjukkan tanda mengalami hipoglisemia atau hiperglisemia.

Pemeriksaan glukosa bagi ibu hamil dan orang biasa, memerlukan mereka meminum sejumlah air gula. Walau bagaimanapun, kekerapan pemeriksaan glukosa dalam darah boleh dikurangkan jika aras glukosa dalam darah telah berada pada aras normal dan semakin terkawal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here