Penghidap diabetes meningkat 3 juta tahun ini

0
1018

KOTA BHARU: Jumlah penghidap diabetes di negara ini semakin membimbangkan apabila kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peningkatan tiga juta penghidap kencing manis tahun ini berbanding hanya 1.5 juta lima tahun lalu. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, keadaan lebih membimbangkan apabila dua juta rakyat negara ini yang mempunyai kandungan gula dalam darah tinggi masih belum membuat pemeriksaan doktor.


Katanya, diabetes penyakit senyap dan jika dibiarkan berlanjutan ia akan memberikan komplikasi kesihatan seperti risiko buta, sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan mati pucuk. “Keputusan awal kajian NHMS 2011 yang dijangka diterbitkan Disember ini, menunjukkan peningkatan penghidap diabetes di negara ini dengan lebih tiga juga orang berbanding lima tahun lalu, hanya 1.5 juta orang.

“Lebih membimbangkan lagi ialah dua juta orang dewasa mempunyai kandungan gula tinggi dalam darah dan ini menunjukkan masih ramai rakyat negara ini belum melakukan ujian saringan kesihatan mereka secara tetap serta berkala,” katanya dalam kenyataan media yang dipetik melalui laman web Kementerian Kesihatan (KKM).

Dr Hasan berkata, tahap penjagaan penyakit bagi mereka yang sudah disahkan menghidap diabetes dan penyakit NCD masih tidak memuaskan, apabila data KKM mendapati satu daripada lima pesakit terbabit mencapai sasaran gula dalam darah yang baik.

“Data juga mendapati dua daripada lima pesakit mencapai sasaran tekanan darah yang optimum; satu daripada empat pesakit mencapai sasaran tahap kolesterol yang baik dan hanya satu daripada enam pesakit berada pada tahap BMI yang ideal,” katanya. Sehubungan itu, katanya, semua rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas disyorkan segera menjalani ujian saringan faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) setiap tahun bagi memastikan tahap kesihatan sentiasa terjamin.

Sumber Berita Harian 11 November 2011

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here